OGOS 2021

Perutusan YAB Ketua Menteri Sarawak Sempena Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak


PERUTUSAN 

YAB KETUA MENTERI SARAWAK

DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG 

SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2021

PERINGKAT NEGERI SARAWAK

RAKAMAN OLEH TVS UNTUK SIARAN 

PADA 30 OGOS 2021

MUKADIMAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera, salam Sarawakku Sayang

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dalam waktu sukar ketika ini kita masih dapat merayakan hari yang amat penting bagi negara dan bagi Sarawak sebagai sebahagian daripada sebuah negara yang berdaulat dan merdeka. 

Dengan kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak Bumi Kenyalang di mana sahaja saudara dan saudari berada. 

Tahun ini merupakan tahun kedua kita terpaksa menyambut Hari Kebangsaan ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.  Dalam suasana sebegini kita hanya mampu mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri pada kali ini dalam skala yang kecil tanpa melibatkan penyertaan ramai orang. 

Terima kasih kepada saudara dan saudari yang mengikuti ucapan saya ini melalui siaran di TVS, UKAS, RTM, Youtube atau Facebook. 

ANCAMAN COVID-19

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Sudah setahun lebih negara dilanda musibah COVID-19. Dalam sejarah negara, ataupun dunia, inilah bencana yang telah mendatangkan kesan yang amat mendalam kepada masyarakat dan ekonomi yang tidak pernah dilihat sebelum ini.   

Di Negeri Sarawak, semua pihak yang terlibat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), terutamanya mereka yang berkhidmat di barisan hadapan, telah bertungkus lumus untuk memerangi penularan virus corona yang licik dengan kemunculan varian-varian baharu. 

Seperti yang dijangka, penularan COVID-19 akan menjadi lebih sukar untuk dikekang jika ianya sudah merebak ke dalam kalangan komuniti. Inilah yang sedang berlaku kerana manusia sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sambil membawa virus. 

Jangkitan sudah melibatkan semua daerah. Saya tahu ramai penghuni rumah-rumah panjang atau adik kakak kita dari kampung-kampung yang terpaksa diangkut ke pusat-pusat kuarantin meninggalkan binatang ternakan, kebun sawit, kebun lada, kebun nenas, tanpa ada orang yang menjaga sepanjang tempoh kuarantin. Selain itu, adik kakak kita yang berniaga di pusat-pusat penjaja tidak dapat berniaga. Sudah pasti  gangguan seperti ini mendatangkan kesan negatif yang mendalam kepada kehidupan harian mereka yang terkesan.  

Kita sudah biasa menjalani kehidupan yang bebas dan sebarang sekatan yang dikenakan akan menyukarkan urusan harian kita. Mungkin kita tidak dapat turun bekerja setiap hari, kita terpaksa bekerja dari rumah, kita tidak boleh beramai-ramai pergi ke pusat membeli-belah, kita tidak dapat menziarah ahli keluarga yang meninggal dunia, kita tidak dapat hadir di majlis hari lahir dan sebagainya yang biasa kita buat. 

Saya pasti semua rakyat kita sedar tentang adanya SOP-SOP yang perlu dipatuhi dalam setiap aktiviti di tempat awam dan tempat kita bekerja. Kita biasa bebas bergerak dan kadang-kala SOP-SOP yang ditetapkan sukar untuk dipatuhi dalam keadaan-keadaan tertentu. Walau apapun, saya amat berharap kita semua sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keselamatan mereka di sekeliling kita dengan memakai pelitup muka, kalau boleh dua lapis, atau pakai face-shield plastik, kerap mencuci tangan dan seboleh-bolehnya jaga jarak sosial kita. Insya-Allah, dengan dua dos vaksin dan pematuhan kepada SOP saya percaya kita akan lebih selamat.

KRISIS POLITIK MERUMITKAN LAGI KEADAAN

Saudara dan saudari yang dihormati,

Kebelakangan ini krisis politik negara juga telah merumitkan lagi keadaan kerana para kepimpinan atasan negara sentiasa dibelenggu oleh ketidaktentuan dan persoalan keabsahan perdana menteri. Saya amat berharap penyelesaian yang telah dicapai mengikut kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dengan perlantikan Perdana Menteri yang baharu akan membawa kepada kestabilan supaya usaha dapat ditumpu sepenuhnya terhadap pembasmian COVID-19. 

Sebagai Ketua Kerajaan GPS, saya ingin mengulangi pendirian bahawa Kerajaan GPS sentiasa ingin mahu melihat kestabilan di peringkat Kerajaan Persekutuan agar perang terhadap COVID-19 dapat terus diperhebatkan dan ekonomi negara diperkukuhkan. Jika COVID-19 gagal dibendung dan ekonomi negara merudum, ia akan membawa kerugian kepada semua. 

Ini adalah masanya untuk kita bersatu sebagai rakyat untuk memerangi musuh bersama kita semua atau “our common enemy”, iaitu virus corona. Ini bukanlah masa untuk kita semua bertelagah sesama sendiri oleh kerana kepentingan politik atau kepentingan peribadi. Politik seharusnya menjadi alat untuk merapatkan barisan bagi masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama seperti yang pernah dianjurkan oleh Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud melalui falsafah Politik Pembangunan ketika beliau menerajui Kerajaan Sarawak.  

ANCAMAN MENGIKUT ZAMAN

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Pada masa dahulu ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara, khususnya Sarawak, datangnya daripada anasir-anasir yang menyebarkan ideologi dan bertindak melalui ancaman bersenjata. Pasukan keselamatan kita telah menyumbangkan jasa bakti dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk memelihara keselamatan dan mempertahankan kedaulatan Negara. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan-pasukan keselamatan kita yang telah berjasa untuk menjaga keselamatan Negeri ini ketika diancam negara jiran dan juga ketika diancam pergerakan komunisme. 

Ancaman ideologi belum lagi berakhir, khususnya oleh negara-negara Barat. Janganlah kita cenderung untuk membawa anasir-anasir luar melalui NGO-NGO tertentu untuk menggugat kestabilan sosial dan politik negeri kerana pada akhirnya kelak “hanya orang Sarawak sahaja yang akan membantu orang Sarawak”. Orang asing atau orang luar yang cuba mempengaruhi kita dengan pelbagai alasan tidak akan bersama kita sehingga ke penghujungnya. Kerajaan GPS pimpinan saya sentiasa terbuka untuk berbincang secara ikhlas dengan mana-mana pihak untuk menyelesaikan apa saja permasalahan yang mungkin dihadapi untuk kepentingan rakyat dan Negeri Sarawak. 

Pada masa ini lain pula ancamannya kepada keselamatan dan kestabilan Negara. Musuh yang begitu kecil dan tidak boleh nampak dengan mata kasar telah menghuru-harakan Negara sehingga menggugat kestabilan politik dan kesihatan rakyat. Sekali lagi saya bagi pihak Kerajaan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada kesemua ahli barisan frontliners kita yang telah bertungkus lumus untuk menjauhkan kita semua daripada jangkitan COVID-19. Mereka ini adalah wira-wira kita yang tidak dapat kita balas pengorbanan mereka walaupun Kerajaan Negeri telah coba membantu dengan pelbagai jenis bantuan melalui BKSS. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa besarnya jasa mereka untuk memelihara kesejahteraan kita semua. 

Di samping itu, saya amat menyanjungi keprihatinan rakyat Sarawak yang mempunyai kemampuan turut membantu dengan menggunakan sumber mereka sendiri untuk mempercepatkan program pemberian vaksin di seluruh Negeri Sarawak. Alhamdulilliah, hasil kerjasama semua pihak, Sarawak sudah mencapai lebih daripada 85 % sasaran program pemberian vaksin bagi dos kedua.   

JASA, SEMANGAT PEMIMPIN TERDAHULU

Saudara dan saudari yang saya hormati, 

Para pemimpin kita terdahulu yag terdiri daripada kaum Dayak, Cina dan Melayu/Melanau telah berganding bahu untuk menuntut kebebasan daripada pihak British. Mereka sama-sama telah membuat keputusan sesuai dengan suasana dan keadaan geopolitik pada masa itu untuk menubuhkan Malaysia bersama Malaya dan Sabah dengan harapan Sarawak boleh mengikuti jejak langkah Malaya yang sudah mencapai sedikit kemajuan. 

Pada era ini Anak Sarawak daripada pelbagai bangsa, kaum dan agama, seperti semangat pemimpin-pemimpin terdahulu, juga seharusnya terus bersatu untuk mengejar impian menjadikan Negeri Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. Peluang untuk berjaya ada di mana-mana dan dengan berbekalkan ilmu, kemahiran, kebolehan dan sikap yang betul saya pasti semua kita sama-sama boleh berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.  

PENUTUP

Dengan pesanan ini, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada saudara dan saudari yang telah mengikuti ucapan saya ini sempena Hari Kebangsaan 2021. Saya berdoa agar kita semua beroleh kejayaan dalam mengejar cita-cita masing-masing dan juga berjaya dalam memerangi ancaman COVID-19.

Sekian, wabilahi taufik walhidayah salam mualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Sumber dari : Sarawakku